Saham Felda Global Ventures: Kisah Klasik Pelaburan 101

SUZARDI MAULAN
JULAI 12, 2012

GAMBAR DIAMBIL DARI GOOGLE IMAGES

“FGV berjaya!”

Itulah sorakan satu pihak apabila initial public offering (IPO) Felda Global Ventures Berhad ditutup tinggi pada hari pertamanya pada 28 Jun 2012.

Untung 16% dalam sekelip mata.

“FGV gagal!”

Itu pula sorakan pihak satu lagi apabila harga saham FGV jatuh dari RM 5.55 sehingga cuma RM 5.24 pada 26 Julai 2012.

Kejatuhan 6%.

Dua-Dua Pihak Salah

Post ini bukan mengenai patut atau tidak FGV disenaraikan di Bursa Malaysia.

Post ini adalah untuk membetulkan laporan berbaur politik sekitar saham FGV.  Sekaligus memberi kefahaman asas tentang pasaran saham.

Orang politik nak bergaduh dipersilakan bergaduh di tempat lain dan sila berhenti membaca di sini. Saya akan block semua komen politik. Hanya orang yang nak belajar sahaja dipersilakan baca sampai habis dan bertanyakan soalan sepatutnya.

Oh ya, sekarang 1 lot saham bersamaan 100 unit. Jadi apabila peneroka FELDA mempunyai 800 unit, maksudnya mereka mempunyai 8 lot.

Kisah IPO Facebook

Facebook.

Majoriti pembaca blog ini ada akaun Facebook.

IPO Facebook dibuka tinggi. Dari USD 42.05, naik sehingga USD 45 pada 18 Mei 2012 dan harga terus jatuh serendah USD 25.52 pada 6 Jun 2012.

Kejatuhan 40% dalam tempoh tidak sampai 1 bulan.

Jauh lebih teruk dari kejatuhan harga saham FGV.

Tetapi adakah kita menghadapai masalah untuk login Facebook, update status di wall masing-masing dan tekan like pada page Suzardi Maulan {Pakdi} ?

Melainkan broadband yang kita pakai ada masalah, ya kita tak dapat login Facebook.

Maksudnya, bisnes Facebook tetap berjalan seperti biasa. Malah saya sudah membelanjakan hampir RM 1,000 dalam tempoh yang sama untuk membuat iklan di Facebook.

Jadi, kenapa saham Facebook masih jatuh 40% ?

FGV Gagal Atau Berjaya ?

Kegagalan atau kejayaan FGV tidak terletak pada turun naik harga saham.

Itu perkara biasa.

Saya ulang.

Turun naik harga saham adalah perkara biasa.

Macam bisnes Facebook yang masih berjalan seperti biasa walaupun sahamnya jatuh teruk.

Kejayaan atau kegagalan sesebuah syarikat kita dapat tahu melalui penyata kewangan yang dikeluarkan setiap 3 bulan sekali. Namun tempoh 3 bulan itu terlalu singkat. Kita baca penyata kewangan setiap setahun sekali.

(Itulah, dalam eBook Panduan CashFlow kita dapat belajar baca penyata kewangan dengan cara paling asas tapi masih ramai belum beli kan kan kan?)

Dari penyata kewangan baru lah kita tahu syarikat tu sihat atau sakit. Macam kita. Lepas buat penyata kewangan peribadi baru tahu poket kita ni sebenarnya sihat atau berpenyakit.

Apa Tujuan IPO?

Andaikan saya ada ladang kelapa sawit.

Untung ada tetapi tak cukup banyak untuk kembangkan bisnes perladangan sawit.

Maka IPO membolehkan saya mencari pelabur yang berminat untuk melabur dalam bisnes ladang sawit saya.

Saya terbitkan 1,000,000 saham. Saya jual 800,000 unit dengan harga RM 2.00 seunit maka saya dapat RM 1.6 juta dari pelabur luar dan modal baru yang saya dapat tu dapatlah saya kembangkan bisnes ladang sawit.

Lepas saya dapat duit tu, saham tu nak naik ke nak turun ke saya tak perlu ambil peduli. Sebab saham-saham yang ada itu macam kereta second hand. Ada Proton, Toyota dan Honda kisah kalau kereta second hand yang terjual itu dijual dengan harga lebih tinggi atau harga lebih rendah dari harga asal yang dijual?

Jadi Harga Saham Itu Buat Apa?

Untuk jangka masa pendek, harga saham tidak menggambarkan nilai sebenar sesuatu syarikat.

Untuk jangka masa panjang, harga saham selalunya dapat menggambarkan nilai sebenar sesuatu syarikat.

Seorang pelabur bijak hanya kisah nilai sebenar syarikat.

Seorang spekulator bijak, pandai ambil peluang turun naik harga dalam tempoh yang singkat.

Manakala, mereka yang tidak tergolong dalam salah satu golongan yang disebutkan di atas adalah mereka yang sentiasa rugi dalam pasaran.

Baca Artikel Ini Juga:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *