Jagalah Risiko Urus Duit Nescaya Duit Mengalir Masuk

SUZARDI MAULAN
JULAI 16, 2012

GAMBAR DIAMBIL DARI GOOGLE

Warren Buffett pelabur paling kaya di dunia cuma mensasarkan kenaikan 15% sahaja setahun.

Sekiranya beliau yang mengumpulkan hampir seluruh kekayaannya melalui pelaburan cuma mensasarkan 15%, kenapa kita dapat berangan-angan untuk dapat 100% dalam tempoh 1 bulan, 3 bulan atau 7 bulan?

Prestasinya sejak 1965-2011 adalah 19.8% setahun.

2 Situasi Kewangan

Sekiranya kita tiada situasi tak cukup duit, itu bermaksud kita dalam situasi terlebih duit. Malangnya, dua-dua situasi ini dapat membawa kita kepada 1 situasi yang sama iaitu …

Tamak.

Situasi kita yang tak cukup duit menyebabkan kita rasa tak cukup pulangan cuma sekitar 8% setahun. RM 1,000 baru dapat RM 80. RM 10,000 baru dapat RM 800. Alahai. Hutang dah dekat 1/2 juta ni.

Situasi kita ada duit terlebih pula menyebabkan kita rasa lambat betul duit nak berganda. RM 100,00 baru dapat RM 8,000. RM 1,000,000 baru dapat RM 80,000. Alahai. Bisnes aku lagi cepat dapat RM 1 juta.

Bagaimana Nak Bagi Selamat Dulu?

Sebab itu kita kena faham …

Buat duit tak sama dengan urus duit.

Urus duit tak sama dengan buat duit.

Apabila kita menguruskan duit, perkara paling utama adalah persoalan macam mana nak bagi duit modal, simpanan tu kekal dan tidak rugi?

Sebab itulah bank cuma mensasarkan 5-7% sahaja keuntungan asas setahun kerana mereka mempunyai liabiliti dan tanggungjawab untuk memberi semula duit simpanan orang ramai. Kalau bank tidak urus aset – liabiliti dengan baik, maka duit simpanan orang ramai boleh habis begitu sahaja.

Namun disebabkan mereka fokus untuk jaga duit (keep money) terlebih dahulu sebelum buat duit (make money) maka secara automatik keuntungan datang sebab mereka bersikap bijak dan cermat dalam urusan duit mereka.

Keajaiban Dunia ke-8

Seterusnya adalah konsisten.

Biar sikit tapi berkekalan.

RM 10,000, berganda 8% setahun. Berlaku secara konsisten selama 30 tahun, menjadikan modal asal tersebut RM 100,626.57

RM 1,000,000 berganda 8% setahun, berlaku secara konsisten selama 30 tahun, menjadikan modal asal tersebut RM 10,062,656.89.

Inilah keajaiban dunia ke-8, compounding interest formula.

ASB, Tabung Haji, KWSP

Di Malaysia kita telah dimanjakan dengan produk seperti yang disebut di atas. Walaupun dah diberikan peluang dapat 5-8% setahun namun disebabkan tamak, kita sentiasa rasa tidak cukup. Mula lah mencari-cari produk yang beri pulangan cepat tanpa perlu berusaha keras. Akhirnya masuk skim cepat lingkup atau pun terlibat dalam aktiviti spekulasi tanpa kemahiran yang betul.

Bila kita diminta buat bisnes yang betul, macam-macam alasan diberikan, tak pandai lah, tiada modal lah, tiada masa tapi dalam hati nak duit nak masuk berkepuk-kepuk.

Namun jika kita berusaha sendiri mencapai pulangan pelaburan 8% setahun secara konsisten (selain dari produk di atas dan sewaktu dengannya), selalunya kita berpeluang mendapat lebih. Dalam pelaburan sila jangan gunakan kata-kata motivasi seperti:

Biarlah cita-cita setinggi bintang, kalau tak dapat paling kurang mencapai awan.

Kata motivasi sebegini adalah berbahaya kerana buat duit berbeza dengan urus duit. Itu dapat memupuk sifat tamak dalam situasi yang salah dalam diri kita.

Ya, dalam urus duit yang paling utama adalah bagaimana nak bagi duit tu selamat dulu. Yang pelik, lepas jaga risiko duit pun mengalir masuk. Ho ho ho.

Baca Artikel Ini Juga:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *