Apa itu Indeks Komposit Kuala Lumpur?

SUZARDI MAULAN
FEBRUARI 4, 2008

GAMBAR DIAMBIL DARI GOOGLE IMAGES

“Indeks Komposit Kuala Lumpur ditutup tinggi.”

“Indeks Komposit Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur.”

“Indeks Komposit Kuala Lumpur ditutup rendah.”

Begitulah saban hari media melaporkan prestasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI). Adakalanya KLCI ini ditutup tinggi pun ada di kalangan pelabur Bursa Malaysia yang masam mencuka. Sedangkan pasaran menaik. Malah, waktu ditutup rendah pun ada yang tersenyum lebar. Sedangkan pasaran jatuh.

Saya imbas kembali laporan pasaran saham pada 8 Januari 2008 lepas, KLCI menokok 18.97 mata dan ditutup tinggi pada 1489.74 dan menurut laporan, kenaikan ini disebabkan kaunter Maybank naik RM 0.80 sen.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan turun naik KLCI ini?

KLCI ini adalah mata purata 100 kaunter utama di papan utama Bursa Malaysia yang dipilih melalui market capitalisation. Ia hanya mewakili pergerakan 100 kaunter ini sahaja walaupun di Bursa Malaysia mempunyai beratus-ratus kaunter saham. Kebanyakan saham yang dimasukkan ke dalam indeks ini dikenali sebagai saham blue chip.

Walaupun hanya 100 kaunter, tetapi modal kesemua syarikat ini sahaja begitu besar dan 10 kaunter utama yang disenaraikan itu sahaja mewakili lebih separuh pergerakan mata KLCI. Antaranya Sime Darby, Maybank, Public Bank, Tenaga dan Telekom.

Justeru, KLCI ini boleh dikatakan hanya mewakili gambaran umum prestasi pasaran saham di Malaysia. Ia tidak bersifat spesifik. Walaupun KLCI jatuh menjunam, pasti akan ada kaunter yang masih membuat untung. Dan sekiranya berlaku sebaliknya, pasti akan ada kaunter yang rugi.

Sekiranya anda hanya berminat untuk melabur indeks bursa saham sahaja, maka kaedahnya ada 3:

1. Anda beli semua kaunter yang termasuk dalam indeks KLCI. Tetapi … modal anda sebesar mana untuk membeli kesemua 100 kaunter ini ? Hoho… Lainlah anda fund manager untuk syarikat insurans, syarikat amanah saham, syarikat wang pencen dan sebagainya 
2. Anda beli saham amanah yang melabur khusus dalam kaunter-kaunter indeks KLCI. Ia dikenali sebagai index tracking fund. Modalnya rendah serta berpatutan dan anda akan mendapat pulangan hampir sama dengan prestasi KLCI.

3. Anda terlibat dalam pasaran hadapan indeks yang juga dikenali sebagai FKLI. Modalnya tinggi sedikit dari melabur dalam index tracking fund tetapi sekiranya anda tahu kaedah yang betul, pulangan sangat lumayan!

Itu sahaja bicara bursa saham kita kali ini. Nantikan artikel seterusnya berkaitan dengan Initial Public Offering (IPO).

Baca Artikel Ini Juga:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *