Apa Benchmark Saham Amanah Anda?

SUZARDI MAULAN
JULY 3, 2008

GAMBAR DIAMBIL DARI GOOGLE IMAGES

Benchmark. Kayu ukur.

Benda simple, tapi ramai orang tak tahu. Ramai orang tak guna. Sama ada tidak diberitahu oleh orang yang sepatutnya – konsultan amanah saham – atau memang tidak mahu ambil tahu.

Rekod dunia lelaki bagi 100 m (setakat artikel ini ditulis) adalah 9.72s. Maksudnya, kalau anda hanya boleh lari 11 saat, atau 13 saat, atau 15 saat untuk 100m, maka anda tidak layak untuk bersaing dengan jaguh-jaguh lari pecut dunia.

Jadi, jangan lah kata anda ni jaguh dunia kalau anda 10.3s berlari 100m pun tak lepas. Juara kebangsaan pun belum boleh anda capai. Jadi, itulah pentingnya ada benchmark.


Dalam pelaburan saham, selalunya pelabur akan mengukur prestasi pelaburan mereka dengan Indeks Komposit Kuala Lumpur. Tapi ada beberapa benchmark lain yang boleh diguna pakai.

Dan dalam pelaburan saham amanah, kebanyakan dana-dana yang dicipta telah pun mempunyai benchmark masing-masing. Antaranya adalah:

  • Indeks Komposit Kuala Lumpur
  • FBM Shariah Index
  • Mesdaq
  • Indeks Sektor (Perladangan, Kewangan, Industrial dan lain-lain)
  • FBM Small Cap
  • Dan sebagainya.

Benda ini penting kerana inilah penilaian sebenar prestasi saham amanah anda. Sila rujuk entri ini untuk jenis-jenis dana saham amanah yang ada di Malaysia.

Dana saham amanah yang bersifat seimbang (balanced fund), yang melabur dalam bon / sukuk (bon Islam) dan juga ekuiti selalunya akan memberikan pulangan yang tidak begitu tinggi dan juga tidak begitu rendah. Rugi pun seharusnya tidak terlalu besar.

Dana saham amanah indeks pula selalunya tidak akan pergi lebih jauh dari prestasi index yang dana tersebut cuba nak tiru 100%. Jadi kalau FBM Shariah tengah untung, dan dana index shariah anda pula rugi besar, maksudnya pengurus dana itu tengah tidur tak buat kerja, makan gaji buta!

Dan kebanyakan dana-dana saham amanah yang popular yang dijaja returnnya oleh para konsultan pula banyak yang bersifat aggresive, iaitu dana yang berniat untuk menjadi lebih hebat dan bagus dari Indeks Komposit Kuala Lumpur atau FBM Shariah Index.

Jadi kalau Indeks Komposit naik 25%, memang dana jenis ini boleh beri sehingga 50% malah 75%. Tetapi jangan terkejut kalau dana ini akan beri pulangan negatif dan rugi yang besar.

Dana yang tak popular pula adalah dana bon, dan dana pendapatan (income fund). Dan ketahuilah anda sesungguhnya ASB adalah dana pendapatan.

Jadi, mana-mana konsultan yang cuba bandingkan dana aggresif dengan income fund (baca ASB) maka ketahuilah konsultan tersebut sedang beri nasihat dan perbandingan yang salah. Macam mana mereka boleh lulus peperiksaan FMUTM untuk menjadi seorang konsultan pun saya tak pasti.

Dan lebih malang lagi, wujud konsultan yang sengaja ingin mengambil duit ASB prospek mereka , dan duit ASB tersebut digunakan untuk membeli saham amanah syarikat yang mereka wakili dengan alasan yang misleading.

ASB bagi return rendah lah. Melayu kena keluar dari bertumpu di ASB lah.

Dan dulu, ada konsultan yang menjaja ASB haram untuk memujuk rayu prospek dan pada masa yang sama ada di kalangan mereka ini yang tetap menjual juga dana konvensional.

Memanglah ASB tidak akan beri pulangan sampai 50% waktu bull market (pasaran menaik) dan pulangannya adalah cuma 8-10% sahaja. Tetapi ASB tetap akan cuba beri pulangan waktu bear market (pasaran tengah jatuh) sama seperti dana bon / sukuk yang selalunya akan memberikan pulangan lebih pada waktu pasaran merudum.

ASB adalah instrumen kewangan yang bagus. Untuk income fund, pulangan 8% adalah sangat cemerlang. Konsisten lagi.

Ya. Tidak salah kalau anda berminat nak dapat lebih, itu hak anda. Terpulanglah anda nak buat apa pun dengan duit anda. Tetapi jangan lupa tengok benchmark yang diguna pakai oleh dana saham amanah yang ingin anda beli.

Selalunya pengurus dana akan menetapkan objektifnya seperti ini:

“The Fund seeks to outperform the KLCI benchmark.”

Dalam kes ini, dana di atas ingin bagi return yang lebih power dari KLCI. Jadi, kalau KLCI bagi 20% bagi tahun 2007 sebagai contoh, dana tersebut mahu bagi pulangan melebihi 20% pada tahun yang sama. Justeru, kalau dana tersebut cuma beri pulangan sebanyak 15%, maka dana tersebut sebenarnya telah gagal!

Walaupun 15% tersebut beri lebih tinggi dari ASB. Tetapi matlamat dana tersebut tidak tercapai pun. Kerana kayu ukurnya adalah KLCI. Bukannya ASB. Jadi, janganlah bandingkan pertandingan 100m di Sukma dengan 100m di Olimpik.

Kajian yang dibuat untuk menilai prestasi saham amanah di Amerika menunjukkan, tidak banyak dana yang mampu jadi lebih power daripada (outperform) index. Mereka hanya mampu outperform index untuk beberapa ketika sebelum jatuh merudum dan terus tidak wujud lagi.

Atas sebab itu, Warren Buffet menggalakkan kepada anda yang tidak mampu membuat analisis kaunter saham sendiri, cukuplah dengan membeli dana indeks.

Dana indeks ini adalah dana yang meniru hampir 100% pergerakan indeks. Dan indeks ini juga dikenali sebagai Mr Market. Untuk jangka masa panjang, tidak banyak pengurus dana yang mampu menandingi kehebatan Mr Market.

Jadi, apa benchmark saham amanah yang telah anda beli?

Baca Artikel Ini Juga:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *