February 17, 2020

2 Konsep Pelaburan yang Mesti Anda Tahu untuk Jadi Kaya

Dalam pelaburan, anda perlu faham dan tahu apa matlamat anda dan apa yang anda sedang buat. Baik anda letak duit anda di ASB, amanah saham, beli hartanah, main saham, terlibat dalam pasaran hadapan, atau apa-apa sahaja, maka 2 konsep ini adalah yang paling penting anda kena ingat.

Konsep Pelaburan # 1
Pelaburan ini dipanggil teknik memerah susu. Bayangkan Fasha Sanda … er… lembu. Bayangkan anda sedang membela 1000 ekor lembu tenusu. Moo … Moo … Ada lembu putih. Lembu hitam. Lembu coklat. Lembu tompok-tompok. Apa sahaja jenis lembu. Tapi tolong, jangan bayangkan Khinzir Jantan.

Setiap hari, anda mengarahkan pekerja-pekerja di ladang lembu anda memerah susu-susu tersebut. Kalau seekor lembu boleh bagi 1 liter susu / ekor maka anda dah dapat 1000 liter sekali perah. Seminggu dah boleh dapat 7000 liter susu.

Pandai-pandai lah nak buat apa dengan susu tu. Nak buat keju. Nak buat susu tepung. Nak sedekah. Nak minum sorang-sorang. Itu anda punya susu. Buatlah sesuka hati.

Konsep pelaburan ini dikenali sebagai pelaburan untuk dapatkan cashflow. Bayangkan anda ada 5 biji rumah sewa. Setiap satu rumah sewa anda untung bersih RM 150. Maka tiap-tiap bulan cashflow anda dari pelaburan sewa rumah adalah RM 750.

Atau ASB anda sebanyak RM 100,000 , maka tiap-tiap tahun anda kutip RM 8,000 sebagai dividen.

Atau anda ada portolio saham bernilai RM 100,000 dan ia memberikan anda pulangan konsisten dividen 15% setahun. Anda dapat RM 15,000 setahun.

Anda perah susu. Lembu tenusu anda hidup lagi. Hari ni perah. Esok perah. Sampai lah lembu tenusu anda tidak lagi mengeluarkan susu.

Konsep pelaburan # 2
Ini dipanggil teknik menyembelih lembu. Anda ada 1000 ekor lembu daging. Anda bela dari kecik. Bila lembu-lembu tu dah hensem besar, anda sembelih. Hari ni anda suruh pekerja anda sembelih 10 ekor. Esok 5 ekor. Lusa 10 ekor.

Pandai-pandailah anda nak buat apa dengan daging tu. Makan steak sorang-sorang. Buat sup gearbox. Hantar ke kedai. Hantar ke pasar. Lantaklah. Itu daging lembu anda.

Konsep pelaburan ini dikenali sebagai konsep capital gain.

Anda beli saham RM 0.50, kemudian harga saham tu naik sampai RM 0.65 sen. Anda lompat-lompat dalam ofis. Suka. Untung 0.15 sen.

Atau anda beli rumah RM 100,000 dan anda dapat jual balik RM 120,000. Lepas anda balik dari jumpa ejen anda, anda peluk-peluk isteri anda. Ye lah, untung 20 ribu.

Cuma, masalah dengan teknik menyembelih ni, bila anda dah sembelih lembu tu. Anda hanya boleh jumpa kembali dengannya di syurga! Lembu tu dah kiok. Jadi, kalau sehari anda sembelih 10 ekor, 1000 ekor lembu anda akan bertahan selama 100 hari sahaja.

Skill berbeza
Tok imam yang pandai sembelih lembu masa hari raya Korban, belum tentu pandai memerah susu lembu. Begitulah juga sebaliknya. Jadi, anda kena belajar skill-skill memerah susu dan juga skill menyembelih lembu terlebih dahulu.

Masalah anda adalah, anda fikir anda sedang memerah susu, tetapi sebenarnya anda sedang membeli produk kewangan yang digunakan untuk menyembelih lembu. Anda ingat anda sedang menyembelih lembu, tetapi anda sebenarnya sedang memerah susu!

Jadi, anda harapkan daging, daging tak dapat. Harapkan susu, susu pun tak dapat.

SHARE:
Blog 0 Replies to “2 Konsep Pelaburan yang Mesti Anda Tahu untuk Jadi Kaya”
Pakdi
Pakdi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *